SYUKUR DALAM KACAMATA ISLAM
“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kalian dari langit dan bumi? Tidak ada yang berhak disembah selain dia, maka mengapa kalian berpaling?” (Fathir: 3)
Di dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada seluruh manusia agar mengingat akan nikmat-nikmat-Nya. Kerana dengan berbuat demikian, ia akan mendorong kita untuk bersyukur kepada Allah.
Ketahuilah, bersyukur kepada Allah SWT itu bukan hanya dapat memelihara nikmat yang dikurniakan kepada seseorang. Bahkan, ia juga mampu menyubur dan melahirkan nikmat-nikmat baru.
Sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Imam Ibnu Al-Qayyim, syukur itu tidak akan wujud kecuali ia disuburkan dengan lima perkara. Iaitu, merendahkan dirinya kepada Allah, mencintai-Nya, mengakui bahawa nikmat tersebut merupakan kurnia dari Allah, memuji Allah dengan lisannya, dan tidak menggunakan nikmat tersebut untuk perkara yang dibenci oleh Allah SWT.
Bersyukurlah dengan Ikhlas!
Bagaimanakah kita menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT? Apakah kita banyak bersyukur atau mengkufuri nikmat-nikmat itu?
Sebenarnya jika diukur, rasanya syukur kita masih belum cukup berbanding segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Malah, perbuatan dan ucapan kita juga banyak mengandungi pengingkaran dan penafian terhadap nikmat. Cuba anda lihat kehidupan seharian anda, ketika bangun dari tidur, apakah anda mengukirkan senyuman, sambil bibir mengucapkan Alhamdulillah kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk melihat dunia? Atau anda bermasam muka kerana ingin lagi diulit mimpi dan berasa malas nak ke tempat kerja atau kuliah.
Kadangkala ada di antara kita mudah lupa dengan kesempatan dan peluang yang Allah berikan. Sudah diberikan kerja, kita merungut, sudah diberikan makan, juga kita merungut, sudah diberikan gaji dan pendapatan, pun merungut juga…. begitu juga dengan nikmat harta benda seperti rumah dan kereta…. ada sahaja yang tidak kena dengan anda…. Kurang ini dan kurang itu.
Padahal jika nak dibandingkan nikmat yang anda peroleh ini dengan saudara-saudara seislam kita yang hidupnya melarat dan serba daif…. memang jauh berbeza. Cuma, mereka tidak pernah mengeluh sebaliknya menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda. Biarpun terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka masih lagi mampu untuk mengukirkan senyuman dan hidup bahagia dalam suasana serba kekurangan.
Inilah yang dikatakan nikmatnya bersyukur. tanpa keikhlasan dan rasa syukur yang sebenar, hati akan terasa sempit dan hidup menjadi suram dan tidak bahagia..
Memuji Allah SWT
Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada seorang lelaki,
“Bagaimana keadaanmu pagi ini?”
“Baik,” jawab lelaki itu.
Rasulullah s.a.w mengulangi kembali pertanyaannya. Dan lelaki itu masih dengan jawapannya yang sama.
Walau bagaimanapun, Rasulullah masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu dan baginda terpaksa mengulangi pertanyaan yang sama….. lalu lelaki tersebut menjawab, “Keadaanku baik dan aku memuji syukur kepada Allah SWT,”
Barulah Rasulullah s.a.w berkata, “Jawapan itulah yang aku inginkan darimu.”
Bersyukur bererti menghargai nikmat yang telah kita terima dan memuji Allah SWT sebagai Zat Yang Maha Pemberi nikmat. Namun, sayangnya manusia tidak dapat merasai nikmat itu, apatah lagi memuji Allah Maha Pemberi nikmat. Apa yang sering dilafazkan oleh manusia adalah keluhan tentang kekurangannya.
Diakui, sesiapa sahaja boleh bercita-cita untuk inginkan sesuatu yang lebih baik. Namun janganlah sampai kita lupa untuk mensyukuri apa yang Allah telah berikan kepada kita, sehingga kita mensia-siakan nikmat yang ada….
Resipi Syukur Rasulullah
Nasihat Rasulullah s.a.w, dengan melihat orang yang berada di bawah akan dapat melahirkan rasa syukur dalam diri. Namun, dalam urusan amal dan kebaikan, lihatlah orang yang berada di atas, kerana kemuliaan seseorang itu tidak diukur dari dunia yang dimiliki, tetapi dari amal kebaikan yang dilakukan.
Untuk itu, renungi dua perbandingan di bawah agar rasa syukur itu lahir dalam diri kita semua….
Ketika seseorang itu berasa tidak puas hati dengan rumahnya, kerana membandingkannya dengan rumah jiran yang lebih luas dan cantik. Saat itu orang tersebut sudah mula lupa dengan apa yang telah dimiliki. Justeru, kunjungilah jiran-jiran kita yang mempunyai rumah yang kecil dan sempit. Rasakan dan cuba bandingkannya, anda akan bersyukur dan berasakan betapa lapangnya rumah anda.
Kalaulah anda hanya mampu memiliki sebuah motosikal sahaja, lapangkanlah dada dan bersyukurlah kerana masih ramai lagi saudara kita yang masih berjalan kaki. Usah bermuram, dan lihatlah wajah-wajah damai si pejalan kaki. Mereka tersenyum dan ketawa. Jadi kenapa kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Tersenyum sambil memuji Allah SWT.
Sekiranya kita tidak dapat mensyukuri nikmat yang ada dalam genggaman, bagaimana mungkin kita dapat memperoleh sesuatu yang belum pasti? Maka disebabkan itulah Allah SWT menegur manusia dalam firman-Nya yang bermaksud, ”Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur,” (Al-Baqarah [2]: 243).
Kadangkala manusia itu hanya mula bersyukur setelah ditimpa sakit. Padahal, tidak perlu menunggu sakit untuk melafazkan syukur itu dari mulut kita. Rasulullah s.a.w sering mensarankan umatnya agar menjenguk dan melihat orang sakit. Dengan cara ini kita dapat merasakan bahawa diri kita lebih beruntung dari orang-orang itu.
Bayangkan kalau kita dalam keadaan sakit seperti mereka, makan terasa tidak enak, tidur pun tidak nyenyak. Rasanya, jika tinggal di hospital mewah sekalipun tidak akan dapat membuatkan kita bahagia.
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, ”Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku,” (Al-Baqarah [2]: 152).
Beramal Saleh
Allah SWT telah berfirman, ”Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah [2]: 158)
Hakikatnya, ramai di kalangan manusia mudah terpesona dengan nikmat tetapi mengabaikan Allah, Maha Pemberi nikmat. Bahkan, memanfaatkan pemberian-Nya dengan menderhakai-Nya.
Pelbagai nikmat membuatkan manusia lupa diri. Seakan berasa tidak malu menikmati kesenangan dan bersenang-senang dengan kenikmatan duniawi kurniaannya. Fikirannya bukan untuk memenuhi amanah, tetapi bermegah-megah. Mereka lupa bahawa semua nikmat dan kurniaan itu adalah cubaan yang harus dipertanggungjawabkan. Seperti firman Allah SWT,
”Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya), (An-Naml[27]: 40)
Sedikit atau banyak, syukurilah nikmat yang ada dengan ikhlas dan sebenar-benarnya. Iaitu, dengan melakukan amal saleh dan mentaatiNya. Kalaulah hanya dengan nikmat yang sedikit, kita masih tidak mampu untuk bersyukur, apatah lagi nikmat yang banyak? Silap-silap ia menjadi penyebab datangnya azab dan laknat. Seperti firman Allah SWTa,
”Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu),” (At-Takatsur [102]: 8).
Sebenarnya terdapat satu lagi nikmat yang sangat besar yang harus kita syukuri. Iaitu, kekuatan agar kita boleh memanfaatkan segala nikmat dari Allah SWT untuk melakukan amal kebaikan dan beribadah kepada-Nya. Sekiranya Allah SWT telah menolong kita untuk meraih nikmat tersebut, maka berusahalah untuk berbuat lebih baik lagi untuk Allah. Sehingga Allah berkenan memberikan kita rasa nikmat luar biasa ketika kita beribadah kepada-Nya.
Justeru syukurilah rasa nikmat beribadah itu agar Allah SWT berkenan menyambut kita sebagai hamba yang diredhai-Nya. Itulah jalan lurus dan sekaligus nikmat tertinggi yang diberikan kepada para Nabi, syuhada, dan solihin.
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (Al-Fatihah [1]: 6-7)