MANFAAT DAN FAEDAH MENGAHADIRI MAJLIS HAUL (Melayu)

MANFAAT DAN FAEDAH MENGAHADIRI MAJLIS HAUL (Melayu)

Apa faedahnya kita menghadiri majlis haul ni? Maka jawabnya, banyak faedahnya. Pada ghalibnya, acara yang berlaku di dalam majlis haul adalah:
Membaca dhikruLlah secara beramai-ramai, sepertimana ketika haul Imam al-Haddad akan dibaca Wirdullathif dan Ratib al-Haddad
Membaca Yasin atau mengkhatam al-Quran dan pahalanya dihadiahkan kepada shohibul haul
Membaca manaqib shohibul haul,
Dapat duduk bersama ulama dan mendengar nasihat dan peringatan daripada mereka
Membaca petikan dari kitab-kitab karangan shohibul haul, dan banyak lagiiii ……..

Seterusnya mai kita tengok pulak apa faedahnya acara-acara tersebut di atas, secara lebih dekat.

  1. BerdhikruLlah.
    Kelebihan berdhikruLlah ni sangat banyak. Bacalah di dalam kitab Fadhilat Dhikir oleh Syeikhkul Hadits Maulana Zakaria al-Kandahlawi. Di dalam kitab tersebut ada disenanraikan lebih dari 70 faedah atau lebihan berdhikir. Di sini al-Fagir bawa sedikit sebanyak sahaja tentang fadhilatnya dan juga menjadi dalil berdhikir secara beramai-ramai. Antaranya:
    إذا مررتم برياض الجنة فارتعوا. قيل: وما رياض الجنة يارسول الله؟ قال: حلق الذكر
    Ertinya: “Apabila kalian melalui suatu taman syurga, maka hendaklah kalian berhenti”. Mereka bertanya: “Apakah taman syurga itu, wahai Rasulullah? Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menjawab: Halaqah dhikir (Hadits riwayat at-Tirmidhi)
    Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
    لا يقعد قوم يذكوون الله تعالى إلا حفتهم الملا ئكة، وغشيتهم الرحمة، ونزلت عليهم السكينة، وذكرهم الله فيمن عنده
    Ertinya: Tidaklah suatu kaum duduk berdhikir kepada Allah Ta’ala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut mereka di hadapan para malaikatNya (Hadits riwayat Muslim)

أن النبي r خرج على حلقة من أصحابه فقال: ما يجلسكم؟ قالوا: جلسنا نذكر اللهَ ونحمده. فقال: إنه أتاني جبريل، فأخبرني أنّ الله يباهي بكم الملائكة
Ertinya: “Bahawa suatu ketika Nabi صلى الله عليه وآله وسلم keluar dan melalui suatu halaqah dari para shahabatnya. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Apakah yang menyebabkan kalian duduk beramai-ramai? Para shahabat رضي الله عنهم menjawab: Kami berdhikir serta memuji Allah. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Sesungguhnya Jibril عليه السلام telah datang kepadaku dan mengkhabarkan kepadaku bahawasanya Allah Ta’ala membanggakan kalian di hadapan para malaikatNya (Hadits riwayat Muslim)

مامن قوم اجتمعوا يذكرون الله لا يريدون بذلك إلا وجه تعالى إلا ناداهم مناد من السماء: قوموا مغفورا لكم، قد بدلت سيئاتكم حسنات
Ertinya: “Tidaklah suatu kaum yang berkumpul untuk berdhikir kepada Allah Ta’ala, (yang mana mereka) tidak menginginkan sesuatu kecuali keredhaanNya, melainkan ada suara yang menyeru mereka dari langit: Berdirilah kalian dalam keadaan diampunkan kesalahan kalian, sesungguhnya keburukan yang kalian lakukan telah digantikan dengan kebaikan. (Hadits riwayat Ahmad, ath-Thabarani dan Abu Ya’la)

Cukuplah sekadar beberapa hadits untuk menyatakan kelebihan berdhikiruLlah.

  1. Mendoakan shohibul haul, bacaan tahlil atau surah yasin atau mengkhatam al-Quran yang mana pahalanya dihadiahkan kepada shohibul haul.

Mengenai menghadiahkan bacaan tahlil, bacaan al-Quran ke mayyit, maka, disisi pendapat jumhur ulama ahlus sunnah wal jamaah, perbuatan ini diharuskan dan sampai pahala yang dihadiahkan kepada orang yang telah mati. Persoalan ini sudah sering dibahaskan. Maka al-Fagir rasa tidak perlu lagi untuk diperjelaskan. Cuma Al- ingin bawakan sedikit kata-kata ulama tentang perkara tersebut, sepertimana yang al-Fagir catatkan di dalam terjemahan Ajwibah al-Ghaliyyah karya Habib Zein bin Sumaith: “Tersebut Di dalam kitab al-Majmu’ syarah al-Muhazzab oleh Imam an-Nawawi (15/522): “Berkata Ibn Nahwi di dalam Syarah al-Minhaj: Di dalam mazhab Syafie, menurut qaul yang masyhur, pahala bacaan tidak sampai. Tetapi menurut qaul yang mukhtar, sampai pahala apabila dimohonkan kepada Allah agar disampaikan pahala bacaan tersebut”.
Dalam menanggapi qaul yang masyhur tersebut, maka Syaikhul Islam, Syaikh Zakaria al-Anshari mengatakan di dalam kitabnya Fathul Wahhab (2/19):
وماقاله من مشهور المذهب محمول على ماإذا قرأ لا بحضرة الميت ولم ينو ثواب قرائته له
Ertinya: Apa yang dikatakan sebagai qaul masyhur di dalam mazhab Syafie itu dibawa atas satu pengertian: Jika al-Quran itu dibaca dengan tiada kehadiran orang mati (tidak dibaca di hadapan orang mati) dan tidak meniatkan pahala bacaan itu bagi orang mati.”

  1. Membaca Manaqib
    Perkataan manaqib itu adalah bentuk jamak dari mufrod manqobah, yang di antara artinya adalah cerita kebaikan amal dan akhlak perangai terpuji seseorang. Jadi membaca manaqib, ertinya membaca cerita kebaikan amal dan akhlak terpujinya seseorang. Oleh sebab itu kata-kata manaqib hanya khusus bagi orang-orang baik mulia. Maka hukumnya juga harus bahkan disukai kerana ianya menceritakan teladan yang baik untuk diikuti. Apa faedahnya membaca manaqib dan memperingati orang-orang sholeh?

Maka faedahnya membaca manaqib dan mengingati orang-orang sholeh adalah sepertimana yang tersebut di dalam sebuah hadits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus daripada Sayyidina Muadz رضي الله عنه
ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنة
Maksudnya: Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kaffarah (bagi dosa), mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kepada syurga. (menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir dan al-Munawi didalam Faidhul Qadir, hadits ini dhoif)
Muhammad bin Yunus رحمه الله تعالى berkata:
ما رأيت أنفع للقلب من ذكر الصالحين
Ertinya: Tiada melihat aku akan sesuatu yang terlebih manfaat bagi hati daripada mengingati riwayat hidup orang-orang sholeh.

Sufyan bin Uyainah رحمه الله تعالى mengatakan
عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة
Ertinya: Tatkala menyebut orang-orang sholeh akan bercucuran rahmat.

Imam Junaid al-Baghdadi رحمه الله تعالى pula berkata: Hikayat (kisah orang-orang sholeh) itu adalah merupakan tentera dari tentera-tentera Allah Ta’ala dimana Allah menetapkan hati para auliyaNya dengan kisah-kisah tersebut. Maka ditanyai oleh orang kepada Imam Junaid: Apakah engkau mempunyai asas menyokong katamu itu? Maka beliau menjawab: Dalil atau penyokong bagi kenyataannya itu adalah firman Allah [bermaksud]: Dan semua kisah-kisah Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), yang dengannya Kami teguhkan hatimu. (Surah Hud:120).

Imam Abu Hanifah berkata: Kisah-kisah para ulama dan kebaikan-kebaikan mereka lebih aku sukai daripada banyaknya (masalah) fiqih, kerana kisah-kisah tersebut mengandungi adab-adab dan akhlaq mereka.

Faedahnya lagi, dengan membaca manaqib maka akan menambahkan lagi rasa cinta kita kepada shohibul haul, yanag mana ianya dari kalangan auliya dan sholehin. Maka di dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Dzar رضي الله عنه, dimana beliau berkata: Wahai Rasulullah! Seorang lelaki mengasihi suatu kaum sedangkan ia tidak mampu ber’amal dengan ‘amalan mereka? Maka baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: Engkau, wahai Abu Dzar bersama sesiapa yang engkau kasihi.

Mudah-mudahkan kita digolongkan kedalam golongan auliyaNYA lantaran kerna cinta kita kepada mereka. آمين.

Manakala di dalam kitab Jala adh-Dholaam ‘ala ‘Aqidatil Awwam disebutkan: Ketahuilah! Seyogia bagi setiap muslim yang menuntut kelebihan dan kebaikan (dari Allah Ta’ala) bahwa dia mencari baraakah, nafaahat, maqbulnya doa dan turunnya rahamaat pada auliya’ didalam majlis perhimpunan mereka, samada ketika mereka masih hidup atau telah wafat, ketika berada disisi kubur mereka atau ketika berziarah atau ketika menyebut keutamaan mereka dan membaca manaqib mereka.

Di dalam kitab Ainul Adab was Siyasah, halaman 158, disebutkan: Umar bin al-Khattab رضي الله عنه berkata: “Hendaklah kalian mendengar cerita-cerita tentang orang-orang yang memiliki keutamaan, kerana hal itu termasuk dari kemuliaan dan padanya terdapat kedudukan dan kenikmatan bagi jiwa”. Di dalam kitab tersebut juga, mengatakan: Ali bin Abdurrahman bin Hudzail berkata: “Ketahuilah, bahawa membaca kisah-kisah dan sejarah-sejarah tentang orang yang memiliki keutamaan akan memberikan kerehatan (kesenangan) dalam jiwa seseorang. Kisah-kisah tersebut akan melegakan hati serta mengisi kehampaan. Membentuk watak yang penuh semangat dilandasi kebaikan, serta menghilangkan rasa malas”.

  1. Duduk bersama ulama, menatap wajah mereka dan mendengar nasihat dari mereka.
    Apakah faedahnya? Disebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4, telah bersabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
    عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر
    Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum –sufi) seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.

Asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى , di dalam kitabnya Nasho-ihul Ibad fi bayani al-Faadzi al-Munabbihaat ‘alal Isti’daadi Li Yaumil Ma’adi pada halaman 4, beliau telah memberi penjelasan bahwa yang dimaksudkan dengan:
Ulama’ ialah orang-orang ‘alim yang mengamalkan ilmunya
Hukama’ ialah orang-orang yang mengetahui/mengenal zat Allah Ta’ala, yang betul dan tepat dalam perkataan dan perbuatan mereka.
Hikmah itu adalah ilmu yang memberi manfaat
Seterusnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى mengklasifikasikan ulama’ itu kepada 3 bahagian:
Ulama’ yang ‘alim tentang hukum-hakam, mereka adalah ashhab al-fatwa, yakni mempunyai hak untuk memberi fatwa
Ulama yang ‘alim [dan arif] akan dzat Allah [ulama ‘tauhid] sahaja . Mereka ini adalah golongan hukama. Bergaul, berdamping dengan mereka menjadikan akhlaq terdidik, kerana dari hati mereka bersinar cahaya ma’rifatullah dan terbit dari sirr mereka cahaya keagungan Allah.
Dan ulama yang memiliki kedua-dua shifat diatas, mereka itu kubara’. Maka bergaul dengan ahlullah mendatangkan ahwal yang mulia. Nadzrah (lirikan) mereka lebih mendatangkan manfaat dari daripada ucapan mereka. Dan barangsiapa yang lirikannya memberi manfaat kepadamu, maka bermanfaatlah kata-katanya, dan barangsiapa yang lirikannya tidak memberi manfaat kepadamu, maka kata-katanya tidak akan mendatangkan manfaat.
Al-‘Arifbillah al-Quthb al-Habib Ahmad bin Hasan al-Atthas رضي الله عنه sewaktu beliau berada di kota Tarim pada suatu majlis yang dihadiri oleh banyak orang dari golongan Saadah Bani Alawi dan lainnya. Setelah selesai pembacaan kitab dan qasidah daripada kalam salaf (para leluhur ahlulbait terdahulu), beliau رضي الله عنه berkata: Majlis-majlis seperti ini adalah merupakan hidangan bagi arwaah yang bertebaran dan merupakan asroor (rahasia-rahasia) yang berterbangan. Semua yang hadhir akan mendapatkan jalan petunjuk. Semua yang hadhir akan mendapatkan kenaikan darjat dan semua akan mendapatkan curahan rahmat. Barakah dari pada majlis ini, oleh Allah akan disampaikan ke pelbagai tempat (meliputi berbagai tempat) dan Allah Ta’ala akan menurunkan pada majlis ini berbagai macam kebaikanNya, kemurahanNya, dan pemberianNya. Sebahagian yang hadhir mendapatkan barakah disebabkan sebahagian yang lainnya, dan orang yang tertolak (ghairu maqbuulin) akan mendapatkan barakah daripada orang-orang yang diterima (almaqbuulin). Majlis ini merupakan suatu tempat yang sangat bagus, bagaikan tanah subur yang dapat menyerap air dan yang dicurahkan diatasnya hujan rahmat.

Selanjutnya beliau رضي الله عنه berkata: Apabila seseorang merasakan hatinya susah atau anggota badannya terasa malas untuk melakukan amal kebajikan, maka lihatlah atau bacalah kalam (ucapan) para salaf, agar hilang perasaan susah dan rasa malas yang ada pada dirinya. Janganlah seseorang memaksakan diri untuk melakukan hal-hal yang tidak mampu untuk dilakukan. Bertakwalah kepada Allah semampumu. Bersyukurlah kepada Allah jika engkau diberi taufiq untuk dapat melakukan amal-amal shaleh.

Selain itu di antara faedah duduk bersama ulama, dapat memandang wajah mereka. Memandang wajah para sholehin ini bukanlah perkara yang sia-sia kerana memandang mereka mendatangkan hal yang positif bagi yang memandangnya. Seperti membangkitkan semangat, untuk meningkatkan amalan kebaikan, tatkala keimanan seseorang sedang turun. Perkara sedemikian pernah dilakukan oleh Abu Ja’far bin Sulaiman, salah seorang murid Hasan Al Bashri رضي الله عنه . Beliau pernah mengatakan,”Jika aku merasakan hatiku sedang dalam keadaan qaswah (keras), maka aku segera pergi untuk memandang wajah Muhammad bin Wasi’ al-Bishri. Maka hal itu mengingatkanku kepada kematian.” (Tarikh al-Islam, 5/109).

Bahkan Imam Malik رضي الله عنه sendiri juga melakukan hal yang sama tatkala merasakan qaswah dalam hati. Beliau menceritakan: “Setiap aku merasakan adanya qaswah dalam hati, maka aku mendatangi Muhammad bin al-Munkadar dan memandangnya. Hal itu dapat memberikan peringatan kepadaku selama beberapa hari.” (Tartib Al Madarik, 2/51-52).

Apakah perbuatan mereka ini mempunyai sandaran? Sudah pasti. Daripada Sayyidina Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما katanya: Dikatakan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم: Wahai Rasulullah! Karib(teman) kami (yang kami duduk bersamanya) yang mana satukah yang paling baik? Jawab Baginda صلى الله عليه وآله وسلم : Orang yang apabila kamu melihat kepadanya boleh mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kalian dan amalannya mengingatkan kalian kepada akhirat (Hadits riwayat Abu Ya’la. Perawinya adalah perawi hadits shahih sebagaimana terdapat di dalam Majma` az-Zawaid).

Ibnu Hibban meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesungguhnya sebahagian manusia merupakan kunci untuk mengingatkan kepada Allah (Hadits riwayat Ibn Hibban, hadits ini dishahihkan oleh beliau)

  1. Membaca karya-karya shohibul haul.
    Sepertimana setiap tahun, pihak pengajur Majlis Memperingati Haul Imam al-Haddad akan mengeluarkan buku cenderahati dimana disana terdapat petikan-petikan ilmu daripada kitab karangan Imam al-Haddad. Seperti tahun sebelum-sebelumnya bertemakan Sabar, Syukur …. Dan tahun ini bertemukan YAQIN. Dan para penceramah kebiasaannya akan berceramah mengenai tajuk berkaitan ataupun memetik mana-mana daripada kitab atau qashidah karya shohibul haul untuk disyarahkan.

Maka, mengenai membaca kitab mereka ini, Habib ‘ali bin Muhammad al-Habsyi pernah berkata: “Aku wasiatkan agar mengisi semua waktu dengan taat kepada Allah. Menyediakan waktu setiap hari untuk membaca kitab para salaf (ulama Ba’alawi terdahulu) …..” Semoga dengan membacakan sedikit dari sedutan kitab-kitab karangan shohibul haul, mudah-mudahan menjadi sebagai pendorong kepada kita untuk menekuni kitab-kitab karangan mereka yang berharga.

Selain itu banyak lagi faedah menghadiri majlis haul seperti beri’tikaf di dalam masjid sekiranya majlis diadakan di masjid, fadhilat menunggu waktu sholat, bersedeqah, berta’arruf dan lain-lain lagi lah …. Cukuplah sekadar ini catatan al-Fagir. Semoga kita semua mendapat keberkatan di dalam menghadiri majlis haul. Dan satu peringatan, perkara utama yang perlu dijaga adalah NIAT kita dan ADAB kita tatkala menghadiri majlis sedemikian.

 

Leave your comment here: