IMAM MAHDI SEBAGAI TANDA BANGKITNYA ISLAM

Sabda Nabi SAW,

“Tempat lahir Al-Mahdi adalah di Madinah, dan dia adalah salah seorang Ahlulbaitku, dan tempat hijrahnya adalah Baitulmaqdis. Jambangnya nipis, kelopak matanya sentiasa bercelak, giginya berjarak, ada tahi lalat pada pipinya dan di belikatnya ada cap kenabian. Dia akan muncul di bawah Panji-panji Kenabian yang bertanda dan berwarna hitam, dan tidak pernah lagi berkibar sejak kewafatan baginda SAW, lalu dikibarkan oleh Al-Mahdi. Allah akan membantunya dengan tiga ribu malaikat, yang akan memukul muka dan punggung setiap orang yang menentangnya, dan umurnya adalah tiga puluh atau empat puluh tahun.”

Imam Mahdi mula-mula muncul di kota suci Madinah. Di situlah beliau mula-mula dilihat oleh orang ramai walaupun mereka tidak berapa peduli dengan keberadaannya di kalangan mereka. Ramai yang menyangka bahawa orang yang mereka lihat itu hanyalah seorang lelaki biasa yang kebetulan wajahnya menyerupai Imam Mahdi yang diceritakan oleh hadis-hadis. Hal ini boleh sahaja berlaku disebabkan penduduk Madinah kebanyakannya sudah tidak lagi mempercayai hadis-hadis mengenai Imam Mahdi menyebabkan kebanyakan mereka tidak berapa arif tentang hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.

Hal ini berlaku kerana mereka sekarang sedang berada di bawah pemerintahan yang bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kalangan mazhab Wahabi tidak mengambil kisah tentang Imam Mahdi, malah ramai yang beranggapan hadis mengenai Imam Mahdi adalah maudhuk dan dhaif. Sebab itulah apabila Imam Mahdi yang sebenar muncul, mereka buat tidak peduli sahaja mengenainya dan para pengikutnya walhal Imam Mahdi itu amatlah jauh berbeza daripada kebanyakan orang Arab yang terdapat di Madinah itu, terutama dari segi pakaiannya, perwatakannya, percakapannya dan sebagainya lagi.

Satu maksud lagi ialah bahawa Imam Mahdi itu muncul di sebuah kota di Timur yang disebutkan sebagai Madinah (kota raya atau bandar raya). Nama kota itu tidak disebutkan dalam hadis ini dan tempatnya juga tidak disebutkan sama ada di negara Arab atau di Timur. Terpulanglah kepada pendukung perjuangan Imam Mahdi untuk menafsirkan dengan tepat nama kota yang dimaksudkan itu. Maksudnya ialah Imam Mahdi akan mula-mula heboh diperkatakan oleh orang ramai di sebuah kota, yang tidak disebut namanya oleh hadis. Jika ini berlaku, maka insya-Allah akan benar-benar berlakulah bahawa Imam Mahdi itu akan muncul di kota.

Kata sahabat RA,

“Al-Mahdi muncul di Madinah.”

Asar ini hanyalah bersifat menambahkan lagi kekukuhan kandungan hadis sebelum ini yang telah menjelaskan tempat Imam Mahdi itu muncul. Yang dimaksudkan dengan muncul ini adalah juga sama dengan maksud yang dibawa oleh hadis sebelumnya.