PENGERTIAN DAN PENJELASAN THARIQAH (2)

MANAQIB

Manaqib sebenarnya adalah biografi seorang sufi besar atau wali Allah seperti As-Syeikh Abdul Qadir Jailani dan Syeikh Bahauddin An-Naqsyabandi. Diyakini oleh para pengamal tariqah sebagai mempunyai suatu kekuatan rohani dan barakah. Bacaan manaqib ini seringkali dijadikan sebagai amalan, terutama untuk mengingati sejarah dan perjuangan para waliyullah dan untuk tujuan terkabulnya segala hajat- hajat yang baik dan khusus.

Secara rumusan, pokok dari semua Tariqah itu ada lima :

Pertama – Mempelajari ilmu pengetahuan yang bersangkut paut dengan perlaksanaan segala perintah-perintah syara’.

Kedua – Mendampingi guru-guru dan teman setariqah untuk melihat bagaimana cara melakukan sesuatu ibadah.

Ketiga – Meninggalkan segala Rukhsah dan Ta’wil untuk menjaga dan memelihara kesempurnaan amal.

Keempat – Menjaga dan mempergunakan waktu serta mengisikannya dengan segala wirid dan doa guna kekhusyukan dan kehadiran jiwa.

Kelima – Mengekang diri, jangan sampai keluar melakukan hawa nafsu dan supaya diri itu terjaga daripada kesalahan.

INTISARI DALAM TARIQAH

  1. Guru atau Mursyid

Syeikh atau guru mempunyai kedudukan yang penting dalam Tariqah. Ia juga sering dikenali dengan panggilan Mursyid (yang memberi petunjuk). Seorang guru tidak sahaja merupakan seorang pemimpin yang mengawasi murid-muridnya dalam kehidupan zahir dan pergaulan sehari-hari, agar tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran Islam dan terjerumus kepada perbuatan maksiat, berbuat dosa besar atau kecil, yang segera harus ditegurinya.

Akan tetapi peranannya juga lebih dari itu, adalah sebagai pemimpin kerohanian yang tinggi sekali kedudukannya dalam Tariqah. Ia merupakan perantaraan dalam ibadah antara murid dan Tuhannya. Ini dikaitkan dengan peranan Rasulullah saw didalam membimbing para sahabat menuju kepada penghambaan kepada Allah.

Seorang syeikh dalam Tariqah membimbing muridnya dengan memberikan pengajaran zikrullah melalui proses Bai’ah (perjanjian). Dan kedudukan syeikh itu haruslah bersilsilah dengan para gurunya pula di mana dia memperolehi ajaran Tariqah tersebut. Oleh kerana itu jabatan ini tidaklah dapat dipangku oleh orang sembarangan walaupun ia mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang Tariqah. Di samping menerima ijazah dari guru sebelumnya sebagai penerus pemimpin tariqah, seorang syeikh itu haruslah mempunyai kebersihan rohani dan kehidupan bathin yang murni. Berbagai-bagai jolokan nama yang tinggi diberikan kepadanya menurut kedudukannya.

Antaranya:

  1. Mursyid : Orang yang memberikan petunjuk (Irsyad)Sheikh Nama yang sering dikaitkan sebagai guru, ketua atau pemimpin
  2. Murabbi : Orang yang mengajarkan ilmu pendidikan (tarbiah) Maulana Gelaran ‘tuan’ guru yang sudah mencapai darjat tinggi
  3. Mua’allim : Guru yang memberikan ilmu Mudarris Pengajar atau pengurus satu pengajian
  4. Muaddib : Guru yang mengajar adab atau tatasusila.Manusia dipanggil ‘adib’ dalam hubungan dengan Khaliq (Penciptanya)
  5. Ustaz : Gelaran biasa bagi seorang guru. Ia lazim sekali digunakan dalam rantau sebelah sini, terutama di Singapura, Malaysia dan Brunei. Tetapi di Indone-

sia sering ustaz itu dipanggil kiyai.

  1. Nussak : Orang yang mengerjakan segala amal dan perintah agama
  2. Ubbad : Orang yang ahli dan ikhlas mengerjakan segala ibadah
  3. Imam : Pemimpin bukan sahaja dalam soal ibadah, bahkan juga dalam sesuatu aliran keyakinan
  4. Sadah : Bererti Penghulu. Gelaran ini juga kadangkala diberikan kepada seorang guru sebagai penghormatan atau orang yang dihormati dandiberi kuasa yang penuh.

  1. Murid atau Salik

Pengikut sesuatu tariqah itu dinamakan murid, iaitu orang yang menghendaki pengetahuan dalam segala amal ibadahnya. Murid itu terdiri dari lelaki dan perempuan, tua mahupun muda.

Dalam tariqah, seorang murid itu tidak hanya berkewajipan mempelajari segala sesuatu yang diajarkan atau melakukan segala sesuatu yang dilatihkan guru kepadanya yang merupakan pokok asal dari ajaran-ajaran sesuatu Tariqah. Bahkan ia harus patuh dan beradab kepada syeikhnya, dirinya sendiri mahupun terhadap saudara-saudaranya setariqah serta orang Islam yang lain. Segala sesuatu yang bertalian dengan itu, diperhatikan dengan sungguh- sungguh oleh Mursyid sesuatu tariqah, kerana kepada keperibadian murid-muridnya itulah bergantung yang terutama berhasil atau tidak perjalanan suluk tariqah yang ditempuhnya. Pelajaran-pelajaran kesufian dan latihan-latihan tariqah itu akan kurang faedahnya, jika ianya tidak meninggalkan perubahan budi pekerti dan peningkatan amaliah murid-murid itu.

  1. Talqin dan Bai’ah

Talqin dalam istilah Tasawuf adalah pengajaran dan peringatan yang diberikan oleh seorang Mursyid kepada muridnya yang hendak mempelajari beramal mengikut perjalanan tariqahnya. Manakala Bai’ah pula bererti perjanjian (‘ahad) kesanggupan kesetiaan seorang murid di hadapan gurunya untuk mengamal dan mengerjakan segala amalan dan kebajikan yang diperintahkan oleh gurunya.

Talqin dan bai’ah dalam perlaksanaan adalah sesuatu yang asas dan menjadi pokok pengamalan dalam tariqah. Seorang murid sebelum mengamal, terlebih dahulu harus mendapatkan Bai’ah dan berjanji dengan gurunya dengan penuh kesetiaan. Dengan menjalani proses perjanjian ini, ia akan dapat memberi kesan yang mendalam kepada orang yang menerima pengajaran itu dan dapat menguatkan tali ikatan perguruan dan persaudaraan kukuh yang tidak akan putus antara seorang murid dan gurunya juga meninggalkan pengertian yang sangat mendalam dan cara-cara serta adab yang akan ditinggalkan dalam ingatan kedua belah pihak. Kebiasaannya, seorang Syeikh atau Mursyid akan memberikan pengajaran Zikrullah kepada muridnya sebagai amalan pokok dalam tariqah. Zikrullah yang diajarkan berupa kalimah Tauhid ‘La Ilaha Illallah’ diajarkan kepada murid dengan cara pengamalan yang khusus, terutama melafazkan kalimah ini dengan lafaz yang bersuara dan juga di dalam hati.

Inilah cara yang pernah dipelajari dan diambil oleh Sayidina Abu Bakar As Siddiq ra dan Sayidina Ali Bin Abi Thalib ra daripada Rasulullah saw sehingga melaksanakan zikir dengan kalimah ini dapat meresap teguh sampai ke dalam hati. Terdapat banyak hadis yang menerangkan peristiwa Nabi Muhammad saw

mengambil ‘ahad (perjanjian) pada waktu membai’atkan para sahabatnya, secara perseorangan dan berjamaah.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tabrani dari Syaddad Bin Aus bahawa Rasulullah saw pernah mentalkin sahabat-sahabat beliau secara berjamaah dan perseorangan. Pada suatu hari ketika kami berada dekat Nabi saw dan beliau bersabda, “Adakah di antara kamu orang asing?” (yakni Ahli kitab). Maka saya menjawab: ‘Tidak ada’. Lalu Rasulullah saw berkata, “Angkatlah tanganmu dan ucapkanlah La Ilaha Illallah”. Lantas beliau menyambung, “Segala puji bagi Allah wahai Tuhanku, Engkau telah mengutus aku dengan kalimah ini dan Engkau menjadikan dengan ucapannya kurnia syurga kepadaku dan bahawa Engkau tidak sekali-kali memungkiri janji”. Kemudian beliau bertanya: “Ketahuilah, gembiralah. Sesungguhnya Allah swt telah mengampuni kamu sekelian.” Terdapat juga sesetengah kumpulan tariqah yang menjalankan proses perjanjian dan talqin dengan cara yang berlainan iaitu dengan Wasiat, Ijazah dan Khirqah.

Ijazah dan Wasiat merupakan kekuasaan seorang guru dalam bentuk surat keterangan yang memberi kekuasaan kepada seorang murid untuk mengamalkan sesuatu atau selanjutnya mengajarkan pengamalan tariqah itu kepada orang lain. Manakala Khirqah pula berupa sepotong kain atau pakaian yang pada kebiasaannya dari bekas pakaian seorang guru yang diberikan kepada murid atau memakainya sebagai mengikat ikatan perguruan dalam pengamalan tariqah. Ini akan menghasilkan keberkahan dan dianggap suci dan menjadi kenang-kenangan bagi seorang murid.

  1. Silsilah

Silsilah bagi seorang Syeikh atau Mursyid merupakan sesuatu yang penting untuk mengajar dan memimpin sesuatu tariqah. Mereka yang menggabung diri kepada sesuatu tariqah, hendaklah mengetahui benar-benar nisbah atau hubungan guru-gurunya yang sambung-menyambung antara satu sama lain sampai kepada Nabi Muhammad saw. Ini dianggap perlu dan sesuatu yang darurat kerana ia memberikan petunjuk kepada seorang murid. Bantuan kerohanian yang diambil guru-gurunya itu harus benar, dan jika tidak berhubungan sampai kepada Nabi Muhammad saw, maka bantuan itu dianggap terputus dan tidak merupakan warisan daripada Nabi saw. Seorang murid dalam tariqah hanya membuat perjanjian dengan gurunya dan tidak menerima Bai’ah, Talqin, Ijazah, Wasiat atau Khirqah tanda kesanggupan dan kesetiaan, kecuali kepada Mursyid yang mempunyai silsilah yang baik dan benar.

Silsilah itu merupakan hubungan nama-nama yang panjang yang satu bertalian dengan yang lain, dari kedudukan Mursyid hingga kepada Rasulullah saw. Barangsiapa yang tidak ada hubungan dengan Nabi sawia dianggap terputus limpahan cahaya dan tidak menjadi waris Rasulullah saw. Orang yang demikian

tidak dibolehkan mengambil Bai’ah daripadanya dan ia tidak boleh memberi atau diberi Ijazah. Barangsiapa yang mengamalkan tariqah tetapi tidak mengenal nenek moyangnya (silsilah) dari para Masyaikh, ia ditolak dan tidak diakui.

Setiap orang yang tidak mempunyai syeikh (Mursyid) yang memberi bimbingan kepada jalan keluar dari sifat sifat tercela, maka dia dianggap maksiat kepada Allah dan RasulNya kerana dia tidak dapat petunjuk mengenai jalan mengubatinya. Walaupun ia mengamalkan segala perkara yang bersifat aktif ataupun menghafal seribu buku tidaklah bermanfaat dengan tidak berguru atau mempunyai Syeikh.

TARIQAH-TARIQAH YANG MU’TABARAH (YANGDIAKUI KEBENARANNYA)

Tariqah sebagaimana telah diakui dalam Ilmu Tasawuf sebagai jalan yang memberi petunjuk dan membawa seseorang itu kepada Tuhannya dengan pengabdian sebenarnya. Justru demikian, jalan untuk menyampaikan kepada maksud dan tujuan itu terbentang luas dan banyak sekali. Kepelbagaian tariqah yang wujud dan bermacam jenis, warna dan caranya tetap kembali yang matlamat yang satu iaitu Taqarrub kepada Allah swt dan akhirnya mancapai Makrifatullah.

Tariqah-tariqah sejak awal kewujudannya telah berkembang pesat dan diamalkan sehingga ke hari ini. Bilangannya banyak sekali. Ada tariqah-tariqah yang merupakan tariqah asas yang dibentuk oleh ahli-ahli Tasawuf, dan ada juga tariqah-tariqah yang merupakan perpecahan daripada tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah yang mengamalkannya di belakangnya atau oleh keadaan setempat, keadaan bangsa yang menganut tariqah-tariqah itu. Banyak diantara perpecahan tariqah- tariqah itu disusun atau diberi istilah-istilah yang sesuai dengan tempat perkembangannya.

Dr Syeikh H.Jalaluddin, seorang pakar ilmu Tasawuf dan seorang ahli tariqah,telah banyak menulis tentang perkembangan tariqah-tariqah, antara lain tariqah-tariqah yang telah diakui kesahihannya. Beliau menerangkan tariqah-tariqah tersebut ialah:-

1 Tariqah Qadiriyah

2 Tariqah Naqsyabandiyyah

3 Tariqah Syaziliyyah

4 Tariqah Ahmadiyyah

5 Tariqah Rifaiyyah

6 Tariqah Dasukiyyah

7 Tariqah Akbariyyah

8 Tariqah Maulawiyyah

9 Tariqah Qurabiyyah

10 Tariqah Suhrawardiyyah

11 Tariqah Khalwatiyyah

12 Tariqah Jalutiyyah

13 Tariqah Bakdasiyyah

14 Tariqah Ghazaliyyah

15 Tariqah Rumiyyah

16 Tariqah Jastiyyah

17 Tariqah Sya’baniyyah

18 Tariqah Kaisaniyya

19 Tariqah Hamzawiyyah

20 Tariqah Sya’baniyya

21 Tariqah ‘Alawiyyah

22 Tariqah ‘Usyaqiyyah

23 Tariqah ‘Umariyyah

24 Tariqah ‘Uthmaniyyah

25 Tariqah ‘Aliyyah

26 Tariqah Bakriyyah

27 Tariqah ‘Abbasiyyah

28 Tariqah Haddadiyyah

29 Tariqah Maghribiyyah

30 Tariqah Ghaibiyyah

31 Tariqah Hadiriyyah

32 Tariqah Syattariyyah

33 Tariqah Bayumiyyah

34 Tariqah ‘Aidrusiyyah

35 Tariqah Sanbliyyah

36 Tariqah Malawiyyah

37 Tariqah Anfasiyyah

38 Tariqah Sammaniyyah

39 Tariqah Sanusiyyah

40 Tariqah Idrisiyyah

41 Tariqah Badawiyyah

42 Tariqah Tijaniyyah

Sebagai contoh, kami bawakan diantara sejarah dan perkembangan ringkas beberapa tariqah yang tercatat di atas berupa tariqah yang masih diamalkan sehingga ke hari ini dan termasyhur di rantau nusantara ini.

Tariqah Syadziliyyah

Nama pendiri tariqah ini ialah Abul Hassan Ali As-Syadzili dalam sejarah keturunannya dihubungkan dengan keturunan Sayidina Hassan putera Sayidina Ali Bin Abi Thalib ra. Lahir di Amman, salah sebuah desa kecil di Afrika, berdekatan desa Mansiyyah, dimana hidup seorang wali Sufi besar, As-Syeikh Abul Abbas Al-Mursi, seorang yang namanya tidak asing dalam dunia Tasawuf. Kedua-dua desa itu terletak di daerah Maghribi.

As-syadzili lahir pada tahun 573H. Beliau terkenal sebagai seorang yang memiliki perwatakan yang baik, wajah yang menunjukkan keimanan dan keikhlasan. Warna kulitnya sedang serta badannya agak panjang dengan bentuk wajahnya yang agak memanjang. Menurut Ibnu Sibagh, bentuk badannya itu menunjukkan bentuk seorang yang penuh dengan rahsia-rahsia hidup. Menurut Abdul ‘Aza’im pula, As-Syadzili adalah seorang yang ringan lidahnya, baik segala ucapannya sehingga segala ucapan yang keluar dari mulutnya mengandungi hikmah dan pengertian yang besar dan mendalam.

Tariqah Syaziliyyah dibentuk dengan menisbah kepada nama pengasasnya. Ia merupakan tariqah yang silsilahnya sambung- menyambung sampai kepada Hassan Bin Ali Bin Abi Thalib ra dan terus sampai kepada Rasulullah saw. Salah sebuah tariqah yang dikatakan termudah mengenal ilmu dan amal, mengenal ahwal dan maqam, ilham dan maqal dengan mudah dapat membawa pengikut-pengikutnya kepada jazab, mujahadah, hidayah, rahsia dan karamah.

Menurut kitab -kitabnya, Tariqah Syaziliyyah tidak meletakkan syarat-syarat yang berat kepada Syeikh tariqah, kecuali mereka harus meninggalkan segala perbuatan maksiat, memelihara segala ibadah-ibadah sunnah semampunya, zikir kepada tuhan sebanyak mungkin, sekurang-kurangnya seribu kali sehari semalam, istighfar sebanyak seratus kali sehari semalam, serta beberapa zikir yang lain. kitab Syaziliyyah meringkaskan sebanyak dua puluh adab, lima sebelum memulakan zikir. Dua belas dalam mengucapkan zikir dan tiga sesudah selesai berzikir.

Tariqah Qadiriyyah

Tariqah ini didirikan oleh seorang wali sufi yang agung, As- Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Beliau seorang yang alim dan zahid, diberi gelaran Qutbul Aqtab. Seorang ahli fiqeh Mazhab Hambali yang terkenal, kemudian beralih kecenderungannya kepada ilmu tariqah dan menyelami alam kesufian.

Sejarah tentang kehidupan As-Syeikh dengan segala macam karamahnya

banyak tercatat dalam kitab kitab Manaqib As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.

Ibnu Batutah menceritakan bahawa dalam zamannya sudah mulai dipergunakan orang tempat melakukan latihan-latihan suluk, dan latihan-latihan yang dilakukan di Baghdad itu menurut ajaran-ajaran As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sehingga dengan demikian, ajarannya itu lama kelamaan merupakan satu mazhab Sufi dan setiap murid yang telah menamatkan ajarannya sudah beroleh ijazah khirqah dan berjanji akan meneruskan dan menyiarkan ajarannya itu. Demikianlah diceritakan As Suhrawardi dalam kitabnya ‘Awariful Ma’arif’ yang tertulis pada penghujung kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazzali.

Tariqah mula berkembang pada awalnya di tanah Arab. Ali Bin Al-Haddad semasa waktu hidup As-Syeikh telah mula menyebarkan tariqah ini di Yaman. Muhammad Batha’ berasal dari Balbek, pula menyebarkan tariqah ini di Syria. Begitu juga Muhammad Al-Yunani terkenal sebagai seorang penyair Tariqah Qadiriyyah di Balbek dan juga Muhammad bin Abdus Samayang mewakli As-Syeikh Abdul Qadir sendiri untuk mengembangkan tariqahnya di Mesir. Demikianlah seterusnya ajaran Tariqah Qadiriyyah disebarkan luas ke negara-negara lain. Ke Makkah, Turki, tersiar juga ke Afrika Tengah, ke Asia sehingga membawa ke rantau nusantara kita ini.

Tariqah Qadiriyyah mempunyai zikir-zikir, wirid dan hizib- hizib yang tertentu. Wirid-wirid Tariqah Qadiriyyah termuat dalam kitab ‘Al-Fuyudat Ar-Rabbaniyyah’ karangan Abdullah Bin Muhammad Al-Ajami, juga seorang sufi yang alim yang telah mencapai umur 183 tahun (527–721 H)

Pokok dasar Tariqah Qadiriyyah sama banyaknya dengan Tariqah Syaziliyyah iaitu terdiri dari lima asas yang penting. AsasTariqah Syaziliyyah itu terdiri dari lima perkara:-

О Taqwa kepada Tuhan zahir dan bathin

О Mengikut sunnah dalam perkataan dan perbuatan

О Menjauhkan diri dari makhluk di depan dan di belakang.

О Rela terhadap Tuhan dalam pemberiannya yang sedikit

atau banyak

О Kembali kepada Tuhan dalam waktu susah dan senang

Manakala asas pengajaran Tariqah Qadiriyyah pula ada lima

perkara;

О Tinggi cita-cita

О Memelihara kehormatan

О Memelihara hikmah

О Melaksanakan maksud

О Mengagungkan nikmat dan keseluruhan ini semua

ditujukan hanya kepada Allah swt semata.

Barangsiapa yang cita-citanya tinggi, maka tinggilah martabatnya. Barangsiapa yang memelihara kehormatan Allah, maka Allah akan memelihara kehormatannya. Barangsiapa yang memperbaiki khidmat, maka ianya wajib memperolehi rahmat. Barangsiapa berusaha mencapai tujuan dan cita-citanya, maka ianya akan selalu memperolehi hidayat. Barangsiapa yang membesarkan nikmat Allah bererti bersyukur kepadaNya. Barangsiapa bersyukur kepada Allah, akan memperolehi tambahan nikmat yang dijanjikan Allah swt.

Tariqah Rifa’iyyah

Pengasas Tariqah Rifaiyyah adalah seorang sufi yang bernama Rifa’I, pendiri tariqah ini. Tidak banyak lembaran sejarah yang menulis tentang riwayat hidp As-Syeikh ini. Begitu juga Ibnu Khalikan tidak banyak menulis tentang sejarah hidupnya. Lebih banyak diutarakan beberapa catatan mengenai hidupnya dalam kitab tarikh Islam karangan Az-Zahabi, dalam Kitab Tanwirul Absar dan juga Qiladatul Jawahir.

Dari sejarah hidupnya, dapat kita ketahui bahwa tatkala ia berumur tujuh tahun, ayahnya meninggalkan Baghdad pada tahun 419H. Lalu ia diasuh oleh bapa saudaranya Mansur Al-Bathaihi yang tinggal di Basrah. Menurut Imam Sya’rani dalam kitabnya Lawaqihul Anwar, bapa saudaranya itu adalah seorang Syeikh tariqah yang kemudian dinamakan menurut nama Ahmad Rifa’iyyah. Ia pernah menuntut juga dari bapa saudaranya yang lain, Abul Fadhl Ali Al-Wasithi mengenai hukum-hukum Islam dalam mazhab Syafie. Ia belajar dengan giat dalam segala bidang ilmu hingga ke umur 27 tahun. Ia mendapat ijazah dari Abul Fadhl dan Khirqah dari Mansur, yang telah menetap di Umm Abidah dan kemudian meninggal di sana pada tahun 540H. Ahmad tidak melepaskan keluarga ini dan banyak bergaul dengan anak-anak Mansur yang kesemuanya ahli tariqah. Tariqah Rifaiyyah ini yang pada awal-awalnya bermula di Iraq, kemudian tersiar luas ke Basrah, sampai ke Damshiq dan Istanbul di Turki. Cabang-cabangnya yang terdapat di Syria ialah Hariyah, Sa’diyah dan Sayyadiyah. Cabangnya yang terdapat di Mesir pula ialah Baziyah, Malikiyah dan Habibiyah. Cabang Sa’diyah di Syria didirikan oleh Sa’duddin Jibawi (wafat 1335H) yang bercabang pula, masing-masing didirikan oleh Abdus Salamiyah dan Abdul Wafaiyah, Hariri cabang di Syria (wafat 1247 H).

 

KESIMPULAN

Keperibadian manusia telah disemai sebagai sebaik-baik penciptaan yang Allah swt mengutamakan atas segala penciptaan yang lain. Kecemerlangan penciptaan yang dinamakan insan ini memerlukan panduan yang sebaik-baiknya baik mengharungi buaian gelora dunia. Tujuannya tiada lain melainkan supaya insan ini akan pulang ke pangkuan Tuhannya dalam keadaan sebaik-baiknya sepertimana keadaannya ketika dalam mula-mula kejadian. Dengan motif mencapai kesempurnaan disisi Allah inilah, ilmu Tasawuf dan jalan Tariqah, para sufi mengutamakan. Tiada lain melainkan keredhaan Ilahi yang diharapkan, supaya kepulangannya membawa kepada pengucapan salam dari Penciptanya.